I-City Shah Alam, Selangor


I-City Shah Alam juga dikenali sebagai “city of digital lights”. Indah tatkala matahari sudah terbenam dan bekalan elektrik tidak terputus. Kami sampai tatkala jam hampir pukul 9 malam. Memang teruja tengok warna-warni cahaya pada pohon-pohon rekaan. Kebetulan ada pula sesi artis bertemu peminat untuk promosi filem “Aku Masih Dara”, memang meriah suasana dibuatnya.


Pusat Konservasi Gajah & Deerland, Pahang

Cuti tahun baru, kami sekeluarga ke Kuala Gandah di Lanchang, Pahang. Tempat yang dituju mestilah Pusat Konservasi Gajah dan Deerland. Seronok bila dapat lihat gajah dari dekat. Tapi anak-anak pula yang takut, bunyi gajah yang kuat buatkan mereka mahu didukung sahaja. Jadi kami tak dapat luangkan banyak masa di sana. Tempat ini memang bagus dan kita semua patut bagi sokongan supaya usaha murni memulihara gajah ini akan lebih maju. Sesiapa yang tak pernah pergi, dicadangkan agar dapat luangkan masa dan bawa keluarga bersama. Ada pertunjukan gajah dan peluang untuk menunggang gajah juga.
Sebenarnya aku pernah melawat beberapa tempat konservasi gajah di Sri Lanka dan Thailand yang jauh lebih besar dengan bilangan gajah yang amat banyak. Paling aku kagum ialah di Chiang Mai, Thailand di mana pengurusannya memang terbaik dan menjadi daya tarikan utama pelancong ke sana. Tak mustahil Kuala Gandah juga akan menjadi hebat suatu masa nanti.

Di lokasi yang agak terpencil, Deerland menawarkan pengalaman yang amat menarik dan tak diduga. Kita berpeluang masuk ke kandang rusa. Bayangkan dikerumuni rusa-rusa jinak yang tak sabar-sabar nak makan...memang menjerit-jerit takut juga bagi orang yang tak biasa. Kami hanya duduk di luar kandang, tapi anak-anak tetap berpeluang bagi rusa makan.

Banyak binatang lain yang ada di sini dan Deerland sememangnya mesra pengunjung. Mesra bagaimana ya? Mesra, kerana pengunjung diberi peluang untuk pegang dan beri makan haiwan-haiwan di situ... Beruang pun boleh dipegang dan diberi makan dengan pengawasan.

Taman Tasik Shah Alam, Selangor


Sekali-sekala beriadah beramai-ramai memang seronok. Taman Tasik Shah Alam menjadi pilihan untuk luang masa santai di waktu petang. Berjalan mengelilingi tasik yang tenang dan sekali-sekala beralun tatkala bot penumpang menderu laju. Pelbagai ragam dan aktiviti pengunjung menjadikan taman tasik ini begitu meriah.  Lihatlah...yang bergambar pun dah mengalahkan model iklan... kan!